Hasrat Muhyiddin dipuji
|
|
KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuji saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu menggerakkan usaha secara besar-besaran bagi menghidupkan semula aktiviti sukan di sekolah-sekolah.
Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata, ia satu usaha yang memang dinanti-nantikan terutama dalam menggalakkan pembangunan berterusan di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun tegasnya, Kementerian Pelajaran tidak boleh melakukannya sendirian sebaliknya perlu menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak terbabit yang lain.
“Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan koordinasi dengan Kementerian Belia dan Sukan, MOM dan persatuan-persatuan sukan.
“Ini bagi memastikan perancangan dapat dilakukan secara menyeluruh dan berkesan agar dapat mencapai matlamatnya.
“Saya percaya sebagai bekas menteri yang pernah menerajui kementerian berkaitan sukan, beliau (Muhyiddin) tentunya faham dengan apa yang hendak dilakukannya,” kata Tunku Imran.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, semalam.
Menurutnya lagi, beberapa faktor perlu diambil kira Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan usaha itu antaranya mendedahkan sekolah dengan sains sukan, memaksimumkan kemudahan sukan di sekolah dan tidak hanya mengadakan karnival sukan setahun sekali sahaja.
“Yang paling penting pihak kementerian perlu menyediakan bajet secukupnya untuk diberikan dalam bentuk elaun kepada guru yang terbabit sebagai dorongan menjadi jurulatih di sekolah-sekolah,” tegasnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, usaha Muhyiddin itu memang tepat pada masanya ketika sukan negara semakin bergerak ke hadapan.
“Banyak masalah yang timbul sebelum ini walaupun perbincangan demi perbincangan dilakukan antara persatuan dengan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
“Dengan adanya usaha seperti ini, saya percaya segala halangan yang wujud dapat diatasi untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru,” ujar Naim.
Menurutnya, antara masalah utama yang timbul ialah dari segi pelaksanaan dan kebimbangan pihak sekolah tentang keselamatan pelajar-pelajar mereka.
“Saya percaya dengan pengumuman terbaru daripada Kementerian Pelajaran ini, satu mekanisme dapat dicari untuk mengatasi masalah dari segi pelaksanaan ini,” jelasnya.